Menjadi pelajar cemerlang di bumi Eropah bukanlah suatu perkara mudah, kerana ia menuntut kesungguhan serta usaha yang kuat dan gigih. Namun perkara tersebut berjaya digapai oleh figura kelahiran Sungai Nibong, Pulau Pinang, Wan Nur Adlina, 24, pelajar cemerlang Ijazah Sarjana (Master) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, University of Manchester, United Kingdom.
Wartawan Buletin Mutiara, Watawa Nataf Zulkifli dan jurugambar Law Suun Ting sempat bertemu Wan Nur Adlina yang baru tiba di tanah air setelah selesai majlis graduasi di Manchester.
Berkelana selama empat tahun di sana, Wan Nur Adlina mencapai kecemerlangan dek minat yang begitu mendalam terhadal bidang elektrik dan elektronik.
Wan Nur Adlina Cemerlang di Eropah
“Saya baru menamatkan pengajian pada Julai lalu, dengan skor 82/100 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) daripada tahun satu hingga empat.
“Keputusan tersebut melayakkan saya menjadi pelajar kedua terbaik dalam ‘batch’ saya,” ujarnya memulakan bicara.
Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane, Wan Nur Adlina memberitahu bahawa minat dalam bidang kejuruteraan elektrik itu hadir ketika beliau berada pada Tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping.
“Ketika itu, saya berjaya memperoleh pingat gangsa dalam pertandingan I- SWEEEP yang diadakan di Texas, Amerika Syarikat.
“Projek yang diketengahkan adalah ‘magnetic generator’ yang menggunakan magnet sebagai penghasilan tenaga elektrik yang juga disifatkan sebagai peranti tenaga hijau.
“Jadi dari situ datangnya minat saya apabila saya berjaya memenangi pingat gangsa dalam pertandingan tersebut.
“Saya tidak perlu membawa peralatan tersebut ke Texas saya cuma perlu bentangkan kepada juri dan menerangkan konsep ‘magnetic generator’ itu,” jelasnya yang juga cemerlang dalam keputusan A Level.
Mengulas mengenai cabaran di University of Manchester, Wan Nur Adlina berkata beliau masih terkenang ketika menjejak kaki ke sana.
“Waktu itu, satu dunia masih dilanda pandemik COVID-19 dan cuma belajar secara dalam talian yang agak membosankan kerana tidak dapat bertemu kenalan dan rakan kelas secara fizikal.
“Masuk semester kedua kami dikehendaki mencipta ‘buggy’, dari situ pelbagai kemahiran perlu dipraktikkan seperti ‘coding’, sensor dan sebagainya menjadikan saya lebih berminat dalam bidang ini.
“Masuk semester tiga ada projek individu sebelum menamatkan tahun keempat pengajian di University of Manchester dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.
“Antara yang boleh saya kongsi untuk berjaya adalah fokus dalam kelas itu sendiri, kalau tidak faham kita tanya, atau emel kepada pensyarah tersebut, selain itu bincang bersama kawan-kawan lain, tidak ada jalan pintas,” cerita pelajar yang mendapat penajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.
Kini, Wan Nur Adlina giat mencari peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan terutamanya di syarikat-syarikat multinasional. – Buletin Mutiara
Sumber
- Website : Buletin Mutiara
- Follow Page : Buletin Mutiara
Ha ha ha... gelak je, tak jadi komen lain ^=^
Mantap laaa kedai tayar dengk
kak pip tak skip sarapan.memang susah nak skip saraoan.